Pages

Thursday, December 16, 2010

Berita Harian Online | Pukul badan guna rantai sucikan dosa

Pukul badan guna rantai sucikan dosa
Oleh Norhashimah Mohd Radzali, Suhana Roslan dan Nor Hatina Shuib

2010/12/17

ANGGOTA JAIS cuba menenangkan seorang pemuda yang bertindak agresif ketika serbuan ke atas sebuah premis yang dijadikan markas ajaran sesat di Taman Sri Gombak, semalam.
ANGGOTA JAIS cuba menenangkan seorang pemuda yang bertindak agresif ketika serbuan ke atas sebuah premis yang dijadikan markas ajaran sesat di Taman Sri Gombak, semalam.
200 pengikut ajaran sesat Hauzah Ar Ridha ditahan

GOMBAK: Memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam adalah antara 23 penyelewengan agama diamalkan kumpulan ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Taman Sri Gombak di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.50 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam itu, kira-kira 200 orang, termasuk kakitangan awam, pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) ditahan.
Turut ditahan wanita dan kanak-kanak ketika masing-masing sedang mendengar ceramah disampaikan seorang lelaki warga Iran yang dipercayai ketua fahaman berkenaan.
Bagaimanapun, berpuluh lagi melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat itu sambil melaungkan takbir sebaik menyedari markas itu diserbu 80 pegawai dan anggota JAIS.

Difahamkan, setiap ahli kumpulan dibekalkan tiga batu sebesar kurma yang diletakkan di depan sejadah dan ketika sujud dahi jemaah perlu menyentuh batu itu.

Penyelewengan lain dilakukan kumpulan ajaran sesat itu ialah menziarahi kubur Saidina Husain sebagai ganjaran ke syurga, menghina isteri-isteri Nabi SAW serta mengharuskan sembahyang jamak pada bila-bila masa.

Petang semalam, lelaki warga Iran berusia 48 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang dekat sini, bagi perintah jaminan sementara pendakwa syarie menyiapkan kertas siasatan.
Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin membenarkan mereka dijamin RM2,000 seorang dengan dua penjamin dan memerintahkan lelaki Iran menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta tidak dibenarkan ke luar negeri sehingga tarikh sebutan akan datang.

Saiful kemudian menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan kes.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, mempertikaikan arahan pihak berkuasa agama yang dinyatakan dan diberikan melalui fatwa.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAIS, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, berkata ciri-ciri kesalahan kumpulan itu termasuk Imam adalah maksum, kemunculan Imam Mahadi bersama orang mati untuk memberi keadilan, menyanjung Saidina Ali secara keterlaluan dengan menambah dalam Syahadah serta menghalalkan dan mengamalkan nikah mutaah (perkahwinan kontrak).

Katanya, kumpulan itu dikenal pasti dua tahun lalu dan dikategorikan sebagai serius kerana mereka menyebarkan fahaman Syiah secara sembunyi dan menggunakan pelajar Malaysia yang belajar di republik itu dengan menawarkan biasiswa serta memberi hadiah berupa buku.

“Malah, apabila ada pembesar Iran melawat negara ini, mereka mengadakan kempen dan penerangan berhubung fahaman itu sebelum membuat lawatan ke pusat pengajian tinggi tempatan untuk menyebarkan fahaman mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau menyifatkan tangkapan kelmarin adalah yang terbesar dalam sejarah JAIS dan tidak menolak kemungkinan orang ramai berminat menyertai ajaran itu kerana membenarkan perkahwinan mutaah yang menjurus kepada perkhidmatan seks.

Muhammad Khusrin berkata, daripada 200 yang ditahan, 128 masih berada dalam tahanan, manakala selebihnya kanak-kanak dan remaja dibebaskan.
Berita Harian Online | Pukul badan guna rantai sucikan dosa

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

200 pengikut Syiah ditahan

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kegiatan satu ajaran Syiah tegar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dikesan bergerak aktif di negara ini berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya, malam semalam.

Dua ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, hari ini dan dibebaskan dengan jaminan.

Para pengikut lain juga telah dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini itu dikatakan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Mereka yang menggunakan nama Hauzah Ar Ridha Alaihissalam itu dikesan sudah dua tahun menjalankan kegiatan mereka di tingkat empat rumah kedai berkenaan.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa JAIS pada pukul 10.15 malam itu, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini dan JAIS percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain.

Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya telah mengikuti pergerakan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu dan setelah memperoleh cukup bukti mengaitkan mereka sebagai pengikut ajaran Syiah yang tegar, barulah markas itu diserbu.

Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.

"Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh.

"Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata berbeza fahaman.

"Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.

Muhammed Khusrin berkata, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Katanya, antaranya adalah menyanjung sahabat Rasulullah, Saidina Ali secara keterlaluan, menghalalkan nikah mutaah, menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis Mutawir dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah.

"Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah menolak ijmak ulama, qias dan mengamalkan nikah mutaah. Pengikut Syiah juga terlibat pelbagai penyelewengan umum seperti percaya ganjaran syurga jika menziarahi kubur Saidina Husin.

"Selain itu menyiksa diri dengan memukul badan menggunakan rantai sehingga berdarah sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan dan tidak mewajibkan haji," katanya.

Menurut Muhammed Khusrin, pihaknya percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.

Beliau berkata, kumpulan ajaran sesat terbabit mempunyai dana sendiri bagi membiayai aktiviti dan menyewa bangunan untuk dijadikan markas operasi, manakala penyebarannya pula dibuat secara tertutup melalui penganjuran majlis-majlis tertentu.

Katanya, semua yang ditangkap akan didakwa di bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama.