![]() |
Kartika Sari Dewi (kiri) gembira ketika keluar dari bangunan MUIP setelah mengadakan pertemuan tertutup dengan Tengku Mahkota Pahang di Pekan, semalam. - utusan/Mahathir Ali |
PEKAN 3 Mac - Teruskan hukuman sebat atau diberi pengampunan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Itu nasib yang mungkin bakal dilalui bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana meminum arak tahun lalu.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, walaupun telah dijatuhi hukuman, Kartika Sari Dewi masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada Sultan Pahang selaku ketua agama Islam negeri ini untuk mendapatkan pengampunan.
Baginda bertitah, di bawah Seksyen 133, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002, Sultan Pahang, atas nasihat mufti boleh meringan atau memberi pengampunan kepada mana-mana pesalah syariah tanpa persetujuan orang yang telah dihukum.
Sehubungan itu, titah baginda, pihaknya akan menunggu terlebih dahulu keputusan Sultan Ahmad Shah dan juga Kartika Sari Dewi sendiri sama ada mahu menggunakan peluang yang ada bagi mengemukakan rayuan untuk mendapatkan pengampunan.
"Kita akan menunggu dalam masa terdekat, kalau tidak ada rayuan daripada pihak Kartika, kita akan meneruskan (pelaksanaan hukuman) dan juga saya akan persembahkan kepada Sultan minit mesyuarat (hasil pertemuan) hari ini dalam masa sehari dua ini dan daripada situ, tindakan akan diteruskan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menerima menghadap Kartika Sari Dewi yang ditemani bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib di pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini hari ini.
Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah, baginda telah mendengar isi hati Kartika Sari Dewi dan bersimpati dengan tekanan yang dihadapinya.
Justeru titah baginda, tindakan seterusnya akan diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.
"Kita tidak mahu berlarutan dan saya simpati dengan pihak Kartika dengan tekanan yang dihadapi. Ini adalah satu kes yang boleh kita perhalusi dari segi kelemahan yang terdapat dalam pelaksanaan hukuman ini," titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, MUIP akan mengkaji semula pelaksanaan undang-undang syariah yang telah termaktub begitu lama di negeri ini berikutan masih terdapat beberapa kelemahan.
"Kita akan kaji semula supaya kita nampak juga hukuman syariah ini ada sifat-sifat perikemanusiaan, tidak semestinya (hukuman dijatuhkan) mandatori.
"Kita akan kaji tahap kesalahan supaya hukuman syariah ini lebih mulia, lebih murni bukan sekadar menangkap dan hukum.
"Kita juga ada proses, mungkin kaunseling dan pendidikan supaya kita dapat mendidik," titah baginda.
Mengenai kesan hukuman sebat itu ke atas industri pelancongan Pahang, Tengku Abdullah bertitah, baginda sememangnya memandang serius perkara tersebut.
Baginda bertitah, tetapi pada masa sama Sultan Pahang mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan atas keterbukaan yang ada dengan mengadakan pesta atau aktiviti sewenang-wenangnya tanpa memahami budaya tempatan.
Baginda turut mengingatkan pegawai penguat kuasa agama tidak menyalahgunakan kuasa apabila sewenang-wenangnya menangkap orang sehingga boleh mengaibkan mereka.
"Saya bukan hendak menyokong pihak-pihak yang hendak promosikan pelancongan di sini tetapi biarlah ada batasan sedikit.
"Dalam hubungan ini, saya akan berbincang dengan pihak kerajaan dalam masa terdekat," titah baginda.
Dalam pada itu, usaha mendapatkan reaksi daripada Kartika Sari Dewi yang menginap di Inderapura Lake Resort dekat sini, gagal apabila difahamkan beliau dinasihati tidak dibenar memberi sebarang kenyataan kepada media pada masa ini.
No comments:
Post a Comment